20 June 2013

Tiada ahli biasa yang 'unimportant' itu, tiada pimpinan parti

Dalam sesebuah parti kekuatannya dari ahli biasa yang ramai-ramai. Ahli-ahli biasa inilah yang membentuk kepimpinan parti itu. Ahli-ahli biasa inilah yang menentukan arah tujuan dan bentuk dan rupa parti itu. Ia melibatkan pembentukan sikap dan budaya parti itu sendiri. Kekuatan pemimpin itu bergantung kepada sejauh mana atau seramai mana ahli-ahli biasa ini memberikan sokongan kepada seseorang pemimpin itu.

Maka amatlah menyedihkan jika didapati seorang pemimpin parti menganggap seorang ahli parti biasa tidak penting atau istilah yag popular terbentuk sehari dua ini sebagai ‘unimportant’. Menganggap sesorang ahli biasa dalam parti sebagai ‘unimportant’ itu adalah terlalu ‘uncalled for’. Ia memberi pengertian yang semua ahli biasa tidak penting bagi orang yang mengeluarkan kenyataan itu. Ia bemakna hanya seorang dua pemimpin sahaja yang penting dalam parti itu.

Tetapi ini adalah sikap biasa dalam politik dunia ketiga kerana pemimpin  itu jarang-jarang sedar yang mereka dibesarkan dan diangkat oleh ahli-ahli biasa terutamanya parti yang melaksanakan sistem demokrasi. Walaupun ahli-ahli biasa itu kadangkala bertindak mengikut apa yang dicaturkan oleh pemimpin mereka secara sistematik, yang pentingnya ahli biasa itu adalah penting dalam sesebuah parti yang demokratik.

Ramai pemimpin terlupa yang mereka bukannya menjadi orang besar dengan sendirinya seperti Tuhan yang terdiri dan wujud dengan sendirinya. Mereka menjadi pemimpin bukan terjadi begitu sahaja. Ahli-ahli biasa inilah yang membuatkan mereka itu menjadi pemimpin.

Saya menyebut ini kerana saya telah mengalami isu ini dalam sehari dua yang lepas kerana ada pemimpin besar parti yang saya anggotai menganggap saya itu ‘unimportant’ kerana saya hanyalah seorang ahli biasa. Justeru saya tulislah sedikit tentang isu ini kerana ia amat penting bagi mengingatkan pemimpin yang sedang berada di ‘aras yang tinggi’ dalam parti itu supaya tidak menjadi angkuh.

Kita mahukan mereka sedar bahawa ahli-ahli biasa inilah yang telah membuatkan mereka berdiri dan duduk ditempat yang tinggi itu. Kita mahu pemimpin yang telah diangkat tinggi oleh ahli-ahli biasa ini sedar akan dirinya dan kembali mengingati dari mana mereka berasal dan sejauh mana mereka boleh maju sendirian tanpa ahli-ahli biasa ini.

Hidup ini perlu berseni sedikit sebanyak dan kita tidak boleh melambangkan diri kita sebagai pemimpin yang kasar atau ‘crude’ dalam berinteraksi dengan pihak yang ramai terutamanya kepada ahli-ahli parti mereka jika mereka itu pemimpin politik. Kelebihan orang melayu disini. Mereka lebih berseni dan lembut dalam mengupas isu dan bertindak.

Hanya sekarang nampak sedikit sebanyak kelemahan orang Melayu yang kini sudah berkurangan dari seni politik mereka kerana budaya yang sudah dialih dan dianjak oleh pimpinan pada hari ini. Itu sebab kita terdengar ramai yang sudah begitu fasih mencarut dan bercakap kasar seolah-olah mereka itu bukan Melayu lagi.

Berbalik kepada isu ahli biasa yang ‘unimportant’ tadi saya suka menyeru kepada pimpinan mana-mana parti terutamanya kepada parti yang saya anggotai, supaya lebihkan seni perhubungan diantara mereka dengan ahli. Adab dan sopan itu merupakan budaya timur tidak kira ia berbangsa Melayu, Cina atau India dan apa-apa bangsa sekali pun.

Hak individu mesti kita hormati termasuklah hak untuk tidak dihormati sebagai manusia yang mempunyai pemikiran sendiri. Yang pimpinan berinteraksi itu ialah dengan manusia, bukannya haiwan peliharaan. Maka adalah wajar seorang pemimpin itu tidak berkasar dan sombong terhadap ahli dan rakyat yang dipimpim mereka.

Kesenian dan kelembutan dalam berinteraksi itu adalah lambang sejauh mana ketamadun kita dalam kontek masyarakat timur ini.

Itulah yang membezakan diantara seorang manusia dengan manusia yang lain, atau diantara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain. Kita tidak boleh menganggap manusia yang kita pimpin itu sebagai haiwan peliharaan sahaja. Kalau dirasakan hendak dikurung dikurungnya, kalau hendak menyuruh kerja diarah-arahkan saja dan jika hendak memaki hamun tidak ada halangan langsung dan tiada batasan adab dan adat.

Kita tidak mahu melihat pemimpin kepada manusia bersikap seperti pengembala lembu yang boleh memukul dan mengurung haiwan peliharaan mengikut hati dan rasa sendiri sahaja.

Kita perlukan pemimpin yang layak memimpin manusia dan bukannya pengembala lembu yang hanya layak untuk mengembala haiwan peliharaan sahaja, lebih-lebih lagi di zaman dunia yang moden yang tidak bersempadan ini.

19 June 2013

Bila berbalah tentang dasar parti, jangan serang peribadi individu

Keputusan pilihanraya ke 13 sememangnya merupakan tanda aras dan memberikan banyak jawapan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh semua pihak sebelum pilihanraya itu diadakan. Malaysia sebagai sebuah negara yang memberikan semua rakyat hak untuk memilih akan memberikan semua jawapan yang di isukan dalam proses masing-masing mendapatkan sokongan dan kemenangan.

Negara kita baru sahaja melepasi pilihanraya umum yang sangat panas semasa mengharung waktu berkempen beberapa bulan sebelum itu. Seperti biasa setiap pihak memberikan janji dan memaparkan manifesto masing-masing untuk menambat hati rakyat.

Individu atau kumpulan yang menang bersukaria dan yang kalah berdukacita dan ada yang mengambil keputusan tidak menerima keputusan pilihanraya itu sambil memberikan tuduhan yang pilihanraya tidak diurus dengan baik dan ‘transparent’. Keputusan ini juga memperlihatkan ada unsur-unsur kesombongan pada diri individu dan kepimpinan parti-parti kerana merasakan partinya atau dirinya sendiri sudah besar dan tidak akan tercabar lagi.

Seperti biasa manusia mempunyai pemikiran sendiri dan memberikan pandangan secara baik dan jujur terhadap mana-mana parti yang terlibat dalam proses kemenangan dan kekalahan hasil pilihanraya itu. Banyak juga orang lupa jika kuat pada hari ini tidak semestinya kuat pada esok hari.

Otot yang besar akan menjadi lembek dan mulut yang celupar itu akan membisu apabila sampai masanya. Ada manusia yang berfikir yang mereka akan hidup sihat sentiasa dan tidak akan menghadapi hari tuanya semata-mata kerana merasakan diri mereka sudah hebat.

Kadangkala ada pemimpin kerana terlupa bahawa masa dan zaman sentiasa berubah sehinggakan lupa bila bercakap itu membezakan bercakap sebagai pemimpin parti atau sebagai individu. Ada yang tidak menyedari yang mereka itu sudah menjadi sombong semata-mata kerana merasakan yang mereka sudah berada di ‘cloud nine’, begitu glamor dan terlupa dari mana mereka datang dan kemana mereka akan pergi, sedangkan hidup masih panjang lagi perjalanannya.

Saya sendiri baru mengalami secebis pengalaman apabila saya memberikan pandangan yang sebuah parti yang memperjuangkan ‘multiracialism’ itu sebenarnya tidak melaksanakan apa yang mereka laungkan dan perjuangkan. Komen saya dipetik oleh akhbar media perdana tempatan dan komen saya yang saya berikan secara jujur itu mendapat reaksi bernadakan peribadi yang tidak sepatutnya keluar dari seorang yang berkedudukan sebagai seorang pemimpin besar parti itu.

Dia memberikan reaksi yang mengatakan saya ini bukannya orang penting (unimportant). Tidak pernah saya mengatakan saya seorang yang penting. Jika ada insiden-insiden yang saya mengakui diri saya sebagai penting tolong beritahu saya. Benar saya sememangnya tidak penting (unimportant) tetapi saya hanya memberikan komen sebagai ‘ordinary citizen’ atau seorang biasa yang melata dipinggiran politik ini. Saya bukannya seorang pemimpin pun.

Oleh kerana saya tidak penting (unimportant) itulah persoalan timbul kenapa komen saya itu diberikan reaksi yang begitu ganas bunyinya? Jika komen yang tidak digemari itu datangnya dari seorang yang tidak penting (unimportant) maka tidak ada sebab pemimpin itu memberikan reaksi terhadap komen saya itu dengan nada yang agak angkuh dari seorang pemimpin yang bakal mengambil alih teraju parti itu?

Saya dituduh kecewa kerana tidak menjadi calon dalam PRU 13 yang lepas dan ini merupakan komen yang sangat peribadi. Jika pun saya dijadikan calon ia tetap tidak melambangkan ‘multiracialism’ seperti yang dilaungkannya itu kerana ia akan hanya menambah bilangan Melayu di dalam senarai itu hanya menjadi dua orang sahaja dari seorang yang ada sekarang.

Jadi isu saya tidak bertanding tidak sepatutnya terkeluar dari mulut pemimpin ini jika beliau ada jawapan sebenar kepada komen saya itu. Beliau melarikan isu pandangan saya itu dengan memberikan komen peribadi. Kepada pemimpin yang saya maksudkan itu, saya ingin mengingatkan kembali bahawa saya tidak pernah berjumpa dengan beliau dan menuntut hendak menjadi calon itu.

Malahan sejak saya menyertai parti itu saya tidak bertemu dengan beliau walaupun sekali. “Please bro, don’t equate my values with yours, don’t be too personal, and try not to be arrogant. You may not have regards for me, but at least give regards to your own self.” Saya tidak ada apa-apa perasaan peribadi yang tidak baik terhadap anda. Jadilah seorang yang dewasa.

Saya ulangi, saya ini sememangnya tidak penting. Tetapi jika hendak memberikan reaksi juga kepada komen yang tidak penting itu sepatutnya dia jawab isu yang saya berikan itu, iaitu parti itu bukan parti ‘multiracial’. Buktikan yang parti itu adalah parti ‘multiracial’ dalam ertikata yang sebenarnya. Takkanlah tidak ada jawapannya jika benar komen itu datangnya dari seorang yang ‘unimportant’ tadi. Kenapa membuat serangan peribadi. Komen saya itu tidak langsung mengandungi unsur peribadi terhadap sesiapa.

Itu sebabnya ramai yang merasakan politik ini kadangkala sudah dijadikan isu peribadi. Ketidak matangan reaksi dari pemimpin ini boleh juga difahami kerana beliau ini adalah seorang yang masih muda dan masih merasakan beliau berada dalam mood ‘honeymoon’ kerana kejayaan beliau dan partinya dalam pilihanraya yang lalu.

Sesungguhnya saya hanya memberikan pandangan secara terbuka tanpa mengusik isu peribadi dalam akhbar media perdana itu. Tetapi saya tidak mengambil hati dengan komen peribadi keatas diri saya itu. Setidak-tidaknya kita dapat belajar lebih mendalam lagi apa sebenarnya sikap dan ‘attribute’ parti atau jenis pemimpin yang ada didalamnya dengan lebih jelas lagi.

Kalau dahulu kita kecewa dengan pihak parti berkuasa kerana tidak boleh mempunyai pandangan yang berbeza, sekarang jelas penyakit yang sama juga wujud dalam parti yang lain juga. Dengan komen pedas terhadap diri saya itu maka saya mula berfikir yang sesiapa yang bercakap banyak, bercakap tentang isu yang diperjuangkan mereka, mereka jugalah yang menggagalkan isu dan perjuangan mereka itu.

Dalam posting saya beberapa hari yang lepas saya ada menyebut yang laungan ‘multiracialism’ itu hanya mainan lidah yang tidak bertulang itu sahaja.

18 June 2013

Tidak boleh dielak, negara dan politik baru wajib berlaku

Kumpulan yang kecil, jika ia bermuafakat dan bersatu serta ‘organized’ akan menjadi majoriti. Maksudnya jika sekumpulan yang kecil jika mempunyai organisasi yang baik dan lengkap ia akan mempunyai pengaruh yang besar dalam sesebuah masyarakat atau negara. Ia akan mampu mengalahkan dan mendahului kumpulan yang besar yang berpuak-puak dan berpecah belah.

Dalam dunia ini kaum yahudi merupakan kaum yang terkecil tetapi kaum ini menguasai semua bidang kehidupan manusia dalam dunia ini. Di negara ini kaum Cina sudah menunjukkan bukti kenyataan ini, kerana dengan penduduk yang hanya 25 peratus sahaja ia telah menunjukkan kesepaduan mereka dan telah berjaya mempengaruhi keadaan politik negara, lebih jelas lagi semasa PRU ke 13 yang baru lalu ini..

Di sebaliknya kaum Melayu yang melebihi 60 peratus penduduk negara ini berpecah belah dan hampir sahaja menjadi mangsa politik perkauman yang jelas-jelasnya telah menjatuhkan kekuatan siasah negara ini.

Negara mencapai kemerdekaannya sudah menghampiri enam dekad dan kemajuan yang dicapai oleh negara amat pesat dan kita perlu akui yang kaum Cina yang mempunyai hanya 25 peratus jumlah penduduk telah memainkan peranan membangunkan negara dan menguasai sebahagian besar ekonomi negara ini.

Bagi kaum Cina perniagaan dan perdagangan serta industri ini sudah menjadi darah daging mereka dan kaum ini telah melalui banyak kepayahan untuk membentuk bangsa ini untuk menjadi bangsa yang sentiasa bekerja kuat dan membina ekonomi bangsanya sampai ketahap yang ada pada hari ini.

Rakan kita dari kaum Cina ini begitu ‘organized’ sehinggakan kempulan yang dianggap kecil seolah-olah sudah menjadi kumpulan majoriti kerana kemampuan mereka mempengaruhi keadaan negara dalam semua bidang kehidupan, lebih-lebih lagi dalam bidang ekonomi dan politik.

Berbagai-bagai dasar telah digubal untuk mengimbangi penguasaan harta kekayaan negara secara ‘equitable’ tetapi sehingga hari ini matlamat DEB yang mengandungi dasar ini telah gagal dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun lapan puluhan dahulu. Kejayaan awal dasar ini telah dicapai dan mendapat sokongan dari bangsa-bangsa lain di negara ini semasa itu, iaitu dalam lingkungan tahun-tahun tujuh puluhan dan awal lapan puluhan dahulu.

Semasa itu kaum Cina sendiri merasakan yang dasar itu perlu disokong kerana mereka mengakui yang hidup berniaga dan berpolitik di negara ini tidak akan ada kestabilannya sehingga semua kaum menikmati kekayaan negara secara ‘equitable’ semasa itu. Tetapi pimpinan Melayu sendiri telah mengabaikan dasar ini dan menumpukan untuk membina negara ini sebagai negara maju dan perindustrian secara kilat.

Benar, negara kita maju dalam industri dan perniagaan, tetapi pengabaian dasar untuk membentuk rakyat yang mempunyai pegangan kekayaan dan pendapatan secara ‘equitable’ itu telah melenyapkan harapan orang melayu untuk bersama-sama berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan-rakan dari bangsa lain di negara ini. Sampai kehari ini matlamat itu tidak dapat dicapai.

Dalam pada itu bangsa Cina sudah melalui zaman dan generasi yang baru yang telah terlupa tentang tanggungjawab mereka untuk bersama-sama membantu mengimbangi penguasaan ekonomi dan kekayaan negara kita ini. Apabila sampai situasi ini maka wujud keadaan dalam mana orang Melayu tidak mencapai apa-apa dan di samping itu dituduh mendapat layanan istimewa kerajaan terus-terusan. Maka orang Melayu tersepit sehingga ke hari ini.

Akhirnya bangsa Cina menganggap Melayu itu sebagai bangsa pengemis yang kebanyakkan dikalangan yang ada disekeliling mereka yang berkuasa hanyalah sebagai ‘rent seekers’ semata-mata. Di beberapa blog didalam media alternatif komen-komen mencarutkan bangsa Melayu oeh bangsa bukan melayu kerap kita lihat dan terbaca.

Perasaan resah gelisah ini diperguna oleh pihak yang ingin menguasai politik negara samada dari pihak kerajaan mahu pun dari pihak pembangkang. Inilah akibatnya jika dasar-dasar yang boleh diguna-pakai buat jangka masa yang panjang itu dicemari oleh pimpinan yang mewarisi kepimpinan negara selepas tahun tujuh puluhan dahulu.

Kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang sudah tidak dapat menerima apa yang sedang berlaku sekarang. Pihak kerajaan tidak tahu apa kebaikan yang mereka lakukan dan pihak pembangkang pula mengambil kesempatan ini untuk memanjat tangga kekuasaan  politik yang sangat asing dari apa yang kita alami lama dahulu.

Sekarang sudah hilang suasana dalam mana setiap kaum bekerjasama untuk menjayakan dasar yang menguntungkan semua pihak semasa itu.

Itu sebab saya selalu menyarankan yang negara kita amat memerlukan pembaharuan dan memulakan negara yang baru, sistem yang baru dengan barisan pemimpin yang lain dari yang ada pada hari ini untuk membina sebuah negara yang baru itu Negara memerlukan seseorang yang berkemampuan unutk membina ‘architecture’ politik yang baru untuk menamatkan budaya menghina dan memaki hamun pihak-pihak yang berlawanan.

Segala kata-kata kasar dan kesat yang keluar dari mereka yang baru sahaja mengenal politik atau hendak berjinak dengan politik. Kadangkala mereka menggunakan kata-kata yang begitu kesat seolah-olah mereka tidak pernah mendapat pemdidikan dari ibu bapa mereka.

Apabila berlainan pendapat maka mereka akan menjadi kasar dan biadap walaupun orang yang berbeza pendapat itu bercakap dengan beradab serta bersopan. Kalau dahulu saya mempunyai pandangan rendah ini terhadap penyokong BN, selepas pilihanraya apabila pihak yang telah tewas dan kecewa pula mengambil tempat mereka yang biadab sebelumnya itu.

Rupa-rupanya serupa sahaja sikap mereka dari kedua-dua pihak yang berbalah ini. Bagaimanalah mereka ini mampu mendapat sokongan ramai untuk membuat pembaharuan seperti yang mereka laungkan itu?

Saya teringat kepada satu perbilangan baru yang selalu kita dengar sekarang ini, iaitu ‘lebih sudu dari kuah’. Memaki hamun menjadi budaya mereka dengan menggunakan samaran ‘anonymous’.

Nasib baik juga pihak ini tidak menang dalam PRU yang lepas. Kalaulah mereka memenangi pilihanraya yang lalu, tidak dapat kita bayangkan betapa sombong dan angkuhnya sikap mereka itu sekarang ini.

Itulah sebabnya saya katakan ketentuan Tuhan itu adalah yang terbaik bukan sahaja untuk pihak yang mempertahankan kedudukan tetapi juga pihak yang melawan tetapi mendapat kekalahan itu.

Di sebalik ketentuan itu sudah semestinya ada hikmah yang tidak ternilai bagi semua pihak.

16 June 2013

PRU13: Apa yang diputuskan Tuhan itu adalah terbaik bagi kita

Dalam pilihanraya atau sesuatu pertandingan, ‘post-mortem’ lazim dilakukan selepas pertandingan atau peperangan khususnya pada pihak yang kalah. ‘Post-mortem’ itu dilakukan kerana ingin mengetahui apa silap dan salahnya hingga menyebabkan kekalahan dan kenapa pihak lawan menang mengatasi kita. Ia bermatlamatkan untuk membetulkan kesilapan yang telah mereka lakukan dan mencari jalan untuk mengatasinya dan membuat keputusan baru hasil dari ‘post-mortem’ tersebut.

Dalam sesuatu peperangan sejak dari dulu lagi, ‘post-mortem’ dilakukan dan mencari jalan untuk memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan oleh pihak mereka yang kalah. Dalam peperangan Uhud, tentera Islam telah kalah ditangan tentera musyrikin sehingga rebahnya ramai pahlawan Islam yang tersohor seperti Saidina Hamzah dan yang lain-lain di Bukit Uhud itu.

Pihak tentera Islam sendiri telah melakukan ‘post-mortem’ dan Muhammad saw telah memperbaiki keadaan dengan melakukan pembaharuan terhadap undang-undang dan syariat Islam itu. Sehingga waktu peperangan itu berlaku umat Islam masih tegar dengan minuman arak dan didapati arak itu merupakan salah satu sebab yang mengalahkan tentera Islam kerana mereka berada didalam keadaan mabuk. Semasa itu arak hanya sebagai satu minuman yang tidak digalakkan oleh Nabi saw untuk sesiapa meminumnya.

Tetapi setelah arak itu menjadi salah satu penyebab kekalahan tentera Islam semasa itu, maka arak telah diharamkan oleh Islam secara mutlak. Usahkan untuk diminum, untuk disimpan dan dipegang pun dianggap sebagai pelanggaran syariat agama kita bukan sahaja semasa peperangan malahan di setiap waktu dan zaman. Itu namanya haram mutlak.

Harta rampasan dan tamak haloba juga menjadi sebab kekalahan tentera Islam dalam peperangan Uhud itu. Tentera Islam tidak mendengar arahan Ketua Peperangan Islam iaitu Muhammad saw dengan sepenuhnya kerana pemikiran dan tumpuan ramai tentera Islam semasa itu adalah kepada harta rampasan kerana mereka tahu sesudah peperangan, selalunya pihak yang menang akan mendapat harta rampasan peperangan kerana ia merupakan harta yang halal.

Tentera Islam menjangkakan yang pihaknya akan mendapat kemenangan maka ramai diantara yang berperang semasa itu sudah menunjukkan kecenderungan untuk mendapatkan harta rampasan secara peribadi maka mereka telah hilang tumpuan terhadap peperangan dan matlamat peperangan  itu. Akhirnya Islam tewas dan ia merupakan kekalahan yang amat menjatuhkan semangat pihak Islam semasa itu.

Dalam politik ia bukanlah peperangan bersenjata atau pun peperangan terbuka. Politik adalah pertarungan ‘mental’ dan sesiapa yang berjaya memenangi hati dan pemikiran ramai, mereka lah yang akan menang. Dalam peperangan diharuskan untuk berhelah bagi kemenangan pihaknya. Berbagai-bagai cara dan kaedah berkempen dilakukan dan berbagai-bagai cara dan helah dilakukan oleh kedua-dua belah pihak untuk memenangi pilihananraya ke 13 baru-baru ini.

Keputusan telah diketahui dan pihak BN telah memenangi pertandingan perang ‘mental’ ini dan berjaya mengekalkan kedudukan sebagai kerajaan tetapi dalam kemenangan yang jauh lebih rendah dari pilihanraya atau pertandingan ‘mental’ yang sebelumnya. Pihak Pakatan Rakyat pula memenangi undi popular lebih dari apa yang diperolehi oleh pihak BN. Pendeknya kedua-dua pihak memenangi pilihanraya ini dan jika di pandang dari sudut kekalahan pula, kedua-dua pihak pun telah mengalami kekalahan.

Kedua-dua belah pihak telah melakukan ‘post-mortem’ masing-masing dan hasil ‘post-mortem’ tersebut berbeza diantara pandangan masing-masing. Pihak BN menyalahkan kaum Cina sebagai penyumbang kekalahan dengan ‘tsunami Cina’ nya, dan pihak PR pula menyalahkan pihak lawan dengan isu penipuan yang besar yang dilakukan oleh pihak BN dalam pilihanraya itu.

Apa pun, tuduhan-tuduhan diantara parti-parti yang berlawanan ini yang terpenting kita memahaminya ialah, keputusannya tetap berada ditangan Tuhan yang Maha Kuasa itu. Apa yang di berikan olehNya itu adalah yang terbaik bagi seseorang atau bagi satu-satu kumpulan dan pihak itu. Apa yang kita kehendaki dengan ghairah itu tidak semestinya baik bagi kita. Yang mengetahui yang terbaik bagi kita adalah yang Maha Esa itu jua.

Tetapi jika kita pandang dan kaji dari apa yang berlaku dalam peperangan Uhud itu, ia melambangkan satu hakikat. Walau sesuci mana pun tujuan kita berperang jika kesucian matlamat itu di selitkan dengan niat yang kotor ia tetap tidak akan mendapat kejayaan. Kadangkala kita sendiri tidak tahu niat kotor kita tetapi Tuhan lebih tahu apa yang ada di dalam benak dan naluri kita itu.

Tidak dapat dan tidak boleh kita nafikan peperangan Uhud itu adalah untuk Islam. Tetapi ia tercemar dengan niat dan kepentingan peribadi untuk mendapatkan harta rampasan untuk kepentingan peribadi mereka yang sedang berperang itu. Tuhan tetap tidak meredhakannya dan tetap memberikan kekalahan kepada pihak ini, walaupun ia adalah dari pihak Islam sendiri. Maka semua pihak wajar melakukan suluhan kepada diri yang sebenar-benar diri kita, insyallah kita akan tahu jawapannya.

Jika kita fikir-fikirkan sedalam-dalamnya, keputusan pilihanraya ke 13 baru-baru ini adalah yang terbaik untuk rakyat kita kerana ia pasti dan wajib datangnya dari Allah swt. Mungkin ada pihak yang berani menafikannya, tetapi saya mengakui saya tidak berani menolak hakikat ini.

Penyelesaiannya hanya boleh difahami oleh sesiapa yang tidak lepas dari bertawajjuh dan bertawassul kepada Rasul dan Tuhannya. Tidak pula saya tahu samada ramai yang lebih tahu dari apa yang dalam pengetahuan Tuhan itu.

Itu sebabnya kedengaran ramai juga yang memaki-maki keputusan Tuhan yang Maha Esa ini.

Wallahualam.